(salin-tampal: fb BINTANG KARTIKA)
Sebelum ini saya tidak pernah menulis kronologi Karbala untuk kepada yang mengatakan saya menyembunyikan fakta. Tulisan saya sebelum ini hanyalah tragedi Karbala, iaitu detik-detik menuju pembantaian Al Hussain. Saya hanya ingin mengajak semua Muslimin mengenali cucunda Rasul nan satu ini, yang kisah pembantaiannya dialpakan, tidak diendahkan, sehingga mengingati Hussain telah mendorong sebahagian kita mencemuhnya sebagai amalan Syiah.
Atas permintaan, saya tuliskan dengan ringkas dan menggunakan bahasa yang mudah berserta rujukan kronologi karbala agar kalian tahu kisah ini melambak dalam kitab-kitab ulama Ahlul Sunnah. Hanyalah kisah ini tidak tersedia dalam silibus sekolah dan hampir tidak kedengaran langsung di ceramah-ceramah agama. Kerana sifat tidak suka membaca dan tidak ghairah mengetahui sejarah sendiri, maka kita pasrah disua apa saja yang disodorkan, lalu ketika terjumpa berlainan dari apa yang kita pernah disodor itu, terus mengatakan mereka itu tersesat.
.
1. Imam Hussain begitu banyak memprotes kepimpinan Muawiyah setelah terbunuhnya Hujr bin 'Adi Al Adbar.
Tentang Hujr bin Adi Al Adbar:
Sahabat Nabi dan pengikut setia Imam Ali yang turut serta dalam perang Jamal dan Sifin. Muawiyah telah memerintahkan pengikutnya membunuh Hujr bin Adi al Adbar. Beliau dibunuh di desa Mriaj Adra ketika dalam perjalanan ke Damaskus.
i) Ketika hendak dibunuh beliau meminta; “Jangan singkirkan rantai ini setelah aku terbunuh, begitu juga jangan bersihkan darah padanya. Kami akan bertemu dengan Muawiyah dan akan kulaporkan penentanganku terhadapnya.” [Al Isaba, juz.1 halm.313 “Dzikr Hujr bin Adi”].
ii) Kamaluddin Umar ibn al Adim (ulama Hanafi) menulis dalam Bughyat al Talib fi Tarikh Halab juz.2 hal.298: “Dia (Hujr bin Adi al Adbar) adalah penduduk Kufah, telah datang menemui Rasulullah sebagai utusan (dari Kufah) dan dia salah seorang perawi dari (jalur) Ali bin Abi Thalib.”
iii) Ummu Mukminin Aisyah berkata:
“Muawiyah! Kau telah membunuh Hujr dan sahabat-sahabatnya, Demi Allah, Rasulullah berkata kepadaku; “Di lembah Adra tujuh orang akan terbunuh, yang membuat Allah dan seluruh (isi) langit murka.” [Tarikh, oleh Ibn Asakir, juz. 12 hal.227 “Dzikr Hujr bin Adi”]
iv)“Hujr dan sahabat-sahabatnya ditangkap dan dibawa ke lembah Adra yang dekat dengan Damaskus. Muawiyah memerintahkan bahawa Hujr dan sahabat-sahabatnya dibunuh dilembah tersebut.” [Asad-ul-Ghaba,juz.1 hal. 244 “Dzikr Hujr bin Adi”]
v) Ibn Qutayba Dinwari mencatatnya dalam Al Ma’arif' hal 76: “Hujr datang kepada Rasulullah sebagai utusan dan masuk Islam, beliau hadir dalam perang Qadsiya, juga hadir dalam perang Jamal dan Sifin bersama Ali, lalu Muawiyah membunuhnya di Adra bersama kelompoknya” ]
.
2. Imam Hussain menolak untuk memberikan baiat kepada Yazid. Ketika Imam Hussain berkhutbah di hadapan Muawiyah dan masyarakat, beliau mencela tindakan Muawiyah melantik Yazid kerana anaknya itu terkenal dengan kefasikannya dan tidak boleh menjadi Khalifah memimpin kaum Muslimin.
Imam Hussain meninggalkan Makkah menuju Madinah pada 7 Rajab tahun 60 H/680M, kerana Yazid memerintahkan membunuh Imam Hussain jika tidak mahu membaiatnya.
Selama empat bulan, beliau tinggal di Makkah, Imam Hussain banyak menerima surat dari penduduk Kufah supaya menerima kekhalifahan dan telah mengutus Muslim bin Aqil meninjau kesetiaan penduduk Kufah. Setelah menerima khabar kematian Muslim, Imam Husaain pergi ke Kufah.
Tentang Muslim bin Aqil, beliau adalah sepupu Imam Hussain:
[Diriwayatkan, Imam Ali bertanya kepada Nabi, “Apakah engkau mencintai Aqil?” Jawab Baginda saw, “Ya, aku mencintainya kerana dua hal; Pertama, kerana aku mencintai Abu Thalib. Kedua, kerana Muslim putera Aqil akan terbunuh dalam kecintaannya kepada puteramu, Al Hussain. Air mata orang-orang beriman akan mengalir untuknya, dan para malaikat mengucapkan salam untuk Muslim.” Kemudian Rasulullah bersabda, “Aku mengadukan kepada Allah tentang berbagai musibah yang akan menimpa keluargaku sepeninggalku.” Rasulullah menangis tersedu-sedu sampai air matanya menitis ke dadanya. (Syekh Shaduq, al-Amali, hal.111)
Dipendekkan cerita setelah Imam Hussain begitu banyak menerima surat dari orang-orang Kufah, Muslim ke Kufah untuk meninjau apakah mereka itu sebenar-benar ingin berjuang bersama Imam Hussain. Kedatangan Muslim disambut dengan penuh penghormatan. Pemerintah Kufah ketakutan dan mengkhabarkan kepada pemerintah pusat di Syam. Yazid memerintahkan Muslim dibunuh dan masyarakat dihalangi dari pemberontakan. Yazid mengutus Ubaidillah bin Ziyad ke Kufah. Ubaidillah mengumpulkan pemimpin Kufah, menyusun rencana, mengugut orang-orang yang telah berbaiat kepada Muslim, sehingga mereka membatalkan baiat.
Pada 8 Zulhijah 60H, Muslim keluar untuk berperang kerana telah tersebar berita bahawa Hani bin Urwah, seorang pengikut syiah Hussain telah terbunuh di tangan Ubaidillah. Pada awalnya, ramai berkumpul bersama Muslim di sekitar istana Ubaidillah. Namun pengikut Ubaidillah menakut-nakuti mereka dengan mengatakan, pasukan dari Syam telah memasuki kota, dan memujuk kaum wanita menarik kembali suami atau anak mereka, dengan sogokan emas. Ketika Muslim solat Maghrib, hanya tersisa 30 orang yang ikut solat bersamanya. Ketika Muslim keluar dari masjid, tidak ada seorangpun lagi yang tersisa. (Tarikh al-Thabari, juz.4, hal.277)
Malam tersebut, Muslim diberi perlindungan oleh seorang perempuan tua bernama Thaw’ah. Namun anaknya telah mengadu kepada pihak pemerintah. Tiga ratus pasukan mengepung rumah Thaw‘ah. Terjadilah pertempuran yang sangat sengit. Muslim berhasil membunuh 180 orang dari mereka. (Tarikh al-Thabari, juz.4, hal.279)
Ibnu Asy‘ats mengirim pesan kepada Ibnu Ziyad bahawa Muslim telah membunuh ramai pasukannya dan dia diperlukan bantuan. Ibnu Ziyad menjawab sinis, “Semoga ibumu berduka lantaran kematianmu. Bagaimana hendakku mengirimmu ke medan perang melawan musuh yang lebih tangguh darinya (maksudnya Imam Hussain)?”
Ibnu Asy‘ats menjawab, “Kau ingat, kau mengirim aku kepada seorang pedagang sayur kota Kufah? Muslim seorang pemberani, mempunyai pedang yang tajam, dan singa yang tidak mempunyai rasa takut.”
Ibnu Ziyad terpaksa mengirim pasukan tambahan untuk membantu Ibnu Asy‘ats dan berkata, “Gunakan tipu daya dalam menghadapinya. Kerana dengan cara lain engkau tidak akan menang melawannya.”(Bihar al-Anwar, juz.44, hal.354)
Thuraiha menulis, mereka membuat helah dengan menggali lubang yang dalam, di permukaan lubang itu ditutup dengan tanah, kemudian mereka mundur perlahan ke arah lubang itu dan memancing Muslim. Akhirnya, Muslim terjatuh dan mereka segera mengepungnya.
Ibnu Asy‘ats menghunus pedangnya ke wajah Muslim, lalu menawannya, melucuti pedangnya dan mendudukkannya ke atas kuda. (Muntakhab Thuraiha, juz.2, hal.427)
Muslim mengucapkan ayat, “Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami akan kembali.” Air matanya bercucuran.
Ubaidillah bin Abbas berkata, “Untuk apa pemberani sepertimu menangis?”
Muslim menjawab, “Demi Allah! Aku menangis bukan untukku tetapi untuk Hussain dan keluarga Hussain.” (Nafs al-Mahmum, hal.103)
Muslim dibunuh oleh Ibnu Ziyad begitu keji. Tubuhnya dilemparkan dari atas atap istana ke tanah. (Syekh Mufid, al-Irsyad, juz.2, hal.65)
Dalam kitab lain disebutkan bahawa kepala Muslim dan Hani dikirim ke Damaskus. Sementara tubuh kedua orang ini setelah diseret di jalan-jalan kota Kufah, dilemparkan ke tempat sampah dekat Masjid Kufah.(Nafs al-Mahmum, hal.108) ]
.
3. Muawiyah dan Yazid melakukan berbagai perkara korup, penangkapan dan pembunuhan terhadap syiah (pengikut) Ali, setelah kematian Imam Ali sehingga ramai syiah Ali keluar dari Kufah.
Ath Thabari menulis: “Segera sesudah menguasai Kufah, Muawiyyah memerintahkan untuk memindahkan anggota suku yang dinilai setia kepada ahlulbait dari kota Kufah, dan menggantikan mereka dengan orang-orang dari Syria, Bashrah dan al Jazirah yang patuh kepadanya. [1]
Selain memindahkan mereka yang disyaki syiah Ali, Muawiyah juga melakukan pembersihan kota Kufah dari anasir-anasir syiah Ahlulbait. Ath Thabari menulis[2]: “Bahawa Muawiyyah melakukan penangkapan terhadap para pemimpin syiah dan diantaranya dibunuh.”
“Ziyad gabenor Muawiyah di Kufah melakukan penangkapan terhadap tokoh-tokoh syiah di antaranya Hujr bin Adi dan tiga belas tokoh terkemuka syiah Kufah, mereka berasal dari berbagai kabilah yang beragam di Kufah, Ath Thabari merincikan:
i) Dua orang berasal dari suku Kinda.
ii) Seorang berasal dari suku Hadhramaut.
iii) Dua orang dari suku Abs.
iv) Seorang dari suku Khats’am.
v) Dua orang dari suku Bajilah.
vi) Seorang dari suku Rabi’ah.
vii) Seorang dari suku Hamdan.
viii) Tiga orang dari suku Tamim.
ix) seorang dari suku Hawazin.
Penangkapan ini berakhir dengan pembunuhan arahan Muawiyyah demi mengurangi pengaruh dan perkembangan pengaruh penyokong Ahlulbait di Kufah khususnya. Sehingga pada masa Imam Hussain tekanan dan perkembangan Syiah Ahlulbait begitu menyedihkan, terpaksa menyorok, bersembunyi dari orang-orang Muawiyah.
.
4. Ahli sejarah meriwayatkan tidak semua surat kepada Imam Hussain ditulis oleh syiah Kufah (pengikut Imam Ali), Ath Thabari dan Dinawari meriwayatkan[3]: “Selain kaum syiah awal, sejumlah besar penduduk Kufah juga menulis surat kepada Hussain. Setiap surat ditandatangani oleh sejumlah orang dengan maksud yang sama (mengundang Hussain datang ke Kufah).“
Ahli sejarah Muhammad Jafri berkata antara punca orang-orang bukan syiah menulis surat kepada Imam Hussain; “Bagaimanapun tidak semua mereka menulis surat kepada Hussain dengan perkara yang sama, kaum syiah didorong oleh motif-motif agama tetapi sebahagian besar yang ditulis oleh orang-orang kufah selain kaum syiah adalah harapan politik yang mengharapkan dapat melepaskan belenggu dominasi orang-orang dari Syria.”
“Bahawa kelompok minoriti muslim syiah yang mengundang Hussain, memenuhi sumpah mereka, dan janji mereka bukan kata-kata kosong, mereka tetap setia pada tujuan, dan akhirnya mengorbankan nyawa mereka bersama Hussain di Karbala.”[4]
Ath Thabari mencatat nama-nama para pengirim surat dari kalangan minoriti syiah Kufah yang syahid bersama Imam Hussain, di antaranya Sulaiman bin Shurad al Khuza’I, ‘Abid bin Habib asy syakiri, Habib bin Mudlahir, sa’id bin Abdullah al Hanafi .[5]
Selain nama-nama tersebut, Ath Thabari dan Dinawari mencatat sejumlah minoriti syiah Kufah yang syahid bersama Imam Hussain, mereka mencatat berdasarkan asal sukunya, di antaranya adalalah:[6]
i) 13 orang suku Kinda
ii) 20 orang suku Hawazin
iii) 17 orang suku Tamim
iv) 6 orang suku Asad
v) 7 orang suku Mazhij
vi) 12 orang suku Tsaqif
vii) 5 orang suku Azd
viii) 7 orang tidak diketahui asal sukunya
Jadinya mereka yang menulis surat kepada Imam Hussain bukan hanya berasal dari syiah saja melainkan juga berasal dari bukan syiah dengan tujuan yang berbeza-beza kerana tidak tahan dengan kekejaman Yazid. Yang jelas di Kufah hanya beberapa kerat saja kaum syiah tinggal kerana hampir semua mereka telah berpindah.
.
5. Sebanyak 12,000 hingga 18,000 pucuk surat dikirim orang-orang Kufah kepada Imam Hussain[7]
Mengapa kaum syiah yang membela Imam Hussain begitu kecil jumlahnya?
Ath Thabari menjawab dengan menulisnya sebanyak 32 halaman menceritakan bagaimana upaya kaum syiah meloloskan diri dari pengepungan di kufah dan berusaha menuju Karbala [8]
”Pengepungan jalan yang menuju Kufah dan sekitarnya, menjadikan hampir mustahil bagi syiah Ali di Kufah yang tengah bersembunyi menghindari penangkapan dan juga kaum syiah Ali yang berdiam di tempat-tempat lain untuk datang menolong Hussain, hanya beberapa orang dalam jumlah sangat kecil yang berhasil menembusi pengepungan Ibn Ziyad, dan mereka menanggung nasib bersama Hussain.”[9]
Sebelum Imam Hussain sampai di karbala, tepatnya di daerah ’Uzaib al Hujainat, Imam Husain ditemui oleh empat orang syiahnya dari Tayy, yang dipimpin oleh Thirimmah bin ’Adi ath Tha’iy. Mereka bertujuan menyelamatkan Imam Hussain dan mencegah Imam Hussain datang ke Kufah, mereka berjanji akan mengerah suku Ba’jah dan Salmah untuk membela Imam Hussain. Tetapi Imam Hussain menolak dan memberikan jawapan yang menjelaskan misi dan visi beliau (bukan untuk berperang tetapi mencari titik temu, kerana itu dia ke Kufah membawa bersama ahli keluarganya) dan meminta puak Tayy ini kembali ke kampung halaman mereka.[10]
.
6. Siapakah Yang Mengkhianati Imam Hussain?
Sulaiman bin Shurad al Khuza’i, berkata: ”Bahawa para pembunuh Hussain sesungguhnya adalah kaum Asyraf Al Qaba’il Kufah, merekalah yang harus membayar darah Hussain, kerana merekalah yang mengundang dan kemudian meninggalkan Imam Husain.”[11]
Ibnu A’tsam juga membuat kenyataan yang sama, dia menulis: ”Para syiah Ali mengambil keputusan untuk menuntut balas atas kesyahidan Hussain. Mereka memburu kaum bangsawan (asyraf al qabail) dan ramai orang kufah kerana mereka mengambil posisi sebagai lawan Hussain di Karbala. Dan mereka adalah yang telah bertanggungjawab mensyahidkan Hussain.”[12] Dan Kaum asyraf al Qabail inilah pasca tragedi Karbala yang kelak diburu oleh syiah Hussain pewarisnya.
.
7. Pengkhianat terhadap Imam Hussain bukan berasal dari kalangan syiah (pengikut) Hussain, melainkan berasal dari kalangan bangsawan, pemimpin kabilah dan golongan kekerabatan pembesar serta para pengikutnya. Bahawa tuduhan kelompok Nawashib (pembenci keluarga Nabi) yang menyatakan syiah Hussainlah yang berkhianat adalah pendustaan.
.
Rujukan:
[1] Thabari Tarikh Juz I hal 1920
[2] Ibid II hal 117
[3] Thabari, Tarikh II/234; Dinawari Akhbar art Thiwal, hal 229
[4] Muhammad Jafri, Origin and Early Development of Shi’a Islam, hal 245
[5] Thabari. Tarikh II/237.
[6] Thabari, Tarikh II hal 386 dan Dinawari, Kitab al Akhbar at Tiwal, hal 259
[7] Thabari, Tarikh II/264; Mas’udi, Muruj Dzahab, III/54; Dinawari Kitab al Akhbar at Tiwal, hal 235; Baladzuri Ansab al Asyraf II/80, Ibnu Katsir, Bidayah wa Inahayah VIII/152, Ibn ‘Abd Rabbih, al Iqd al Farid IV/378 ia memberi angka 30,000 pucuk surat.
[8] Ath Thabari II dari halaman 303-335
[9] Ibid II/hal 236
[10] ath Thabari II hal 304
[11] ath Thabari II/ hal 506
[12] Ibnu A’tsam, Kitab al Futuh VI/hal 47
BINTANG KARTIKA